Kejayaan Kontinjen Kedah di KESSUMA 2025: Rezeki Emas, Doa dan Harapan

Alhamdulillah, rezeki tahun ini menyaksikan kontinjen Kedah berjaya melangkah ke pentas akhir Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (KESSUMA). Stadium Langkawi menjadi saksi perjuangan penuh bersemangat anak-anak Kedah, khususnya pasukan bola sepak dan badminton yang membawa nama negeri ke peringkat kebangsaan.

Dalam acara bola sepak, skuad Kedah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perlawanan peringkat kumpulan:

  • Kedah vs Selangor: 2–2
  • Kedah vs Kuala Lumpur: 8–0
  • Kedah vs Melaka: 4–1
  • Kedah vs Kelantan: 4–3

Namun, di pentas akhir menentang Pahang, rezeki belum memihak kepada kita apabila Kedah tewas tipis 0–1. Walau bagaimana pun, semangat juang dan kesungguhan para pemain wajar dipuji kerana berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir setelah kali terakhir emas singgah ke jelapang padi lebih sedekad yang lalu.

Sementara itu, acara badminton mencipta sejarah tersendiri apabila pasukan Kedah berjaya meraih emas dalam kategori berpasukan setelah menewaskan Negeri Sembilan di peringkat separuh akhir, sebelum meneruskan kecemerlangan di peringkat akhir. Lebih manis, ini merupakan emas pertama bagi Kedah dalam acara badminton selepas lebih 20 tahun penantian.

Kejayaan ini amat bermakna kerana skuad badminton Kedah terdiri daripada pelajar-pelajar muda, sebahagiannya masih di tingkatan dua. Justeru, mereka mempunyai ruang yang panjang untuk terus berkembang, meningkatkan kemahiran, dan diharap dapat melangkah ke pentas yang lebih tinggi suatu hari nanti.

Secara keseluruhan, Kedah membawa pulang 1 pingat emas dan 1 pingat perak dalam KESSUMA kali ini. Ia bukan sahaja menandakan kejayaan sukan, tetapi juga membuktikan bahawa anak-anak tahfiz mampu menyerlah dalam pelbagai bidang termasuk di arena sukan kebangsaan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua atlet, jurulatih, guru pengiring serta penyokong yang bersama-sama menjayakan kontinjen Kedah tahun ini. Semoga usaha ini bukanlah sekadar “beginner’s luck”, tetapi menjadi langkah awal untuk terus memperkasa bakat sukan anak-anak sekolah agama sehingga ke peringkat dunia.

Insya-Allah, perjuangan diteruskan dengan acara memanah kebangsaan di Selangor minggu hadapan. Mohon doa daripada semua agar kontinjen Kedah terus diberi kekuatan dan kejayaan.

Share:

Facebook
WhatsApp
Twitter
Telegram

Related Posts